Tuesday, February 1, 2011

jangan biarkan diri anda diselubungi ‘perasan mistik’


Pada suatu malam yang menyeramkan, jam satu atau dua pagi lebih kurang, aku bangkit dari tidur kerana rasa pundi kencing aku sudah penuh dan meronta meminta dilepaskan hajat … lalu dalam kegelapan malam, dan kedinginan anggota peranakkan, aku terus keluar rumah lantas menyusur belakang rumah menuju jamban yang agak jauh dari rumah..

Jamban tidak berlampu,dan aku masuk ke dalam jambanpun hanya ditemani cahaya dari lampu jendela rumah.., akupun terus melepaskan hajat kecil dengan penuh kelegaan dan kesusilaan, namun, tiba-tiba..

Terdengar sesuatu dari luar jamban..

(masukkan elemen bunyi muzik menyeramkan disini)

Sambung balik, sedang asyik aku kencing.. tiba tiba bunyi binatang menegur sesuatu makhluk buat aku gelabah.., bak orang tua kata, binatang ni boleh nampak makhluk halus..,

Dalam mode ‘Twilight Zone’ itu, aku memberanikan diri dengan mengintai ikut salah satu lubang-lubang kecil dari celah zink jamban itu dan alangkah terkejutnya aku… darah menyirap… jantung berdegup kencang!!!

Aku telah melihat dengan mata kepala aku akan wajah lembaga yang sangat hodoh… matanya bulat gelap, tiada warna putih, dan pipinya berkedut kedut dengan lemak yang tebal dan menggerutu..apatah lagi warna nya merah dan berbintik-bintik…, makluk itu terus memandang aku siap dengan berkerdip mata..


Tak lama aku pandang dan aku terus tutup mata.. peluh jantan mengalir di badanku, degupan jantungku terdengar seperi orang sedang berlari, kesejukan malam, dan bau busuk jamban, menambahkan lagi keseraman yang mencengkam..

Sekarang, apa aku perlu buat?, perlukah aku keluar dan berkenalan dengan makluk itu…? Kenapa dia juga mengintaiku? Adakan makhluk ini gay?

Bermacam macam lintasan yang menakutkan berunsur lucah terbayang di benakku..

Tapi aku beranikan diri untuk melihat sekali lagi… alang alang dah jumpa biar aku tengok bentuk badannya yang lain.. baru boleh cerita detail sebab tadi aku hanya nampak separuh dari mukanya..

Bila aku mengintai sekali lagi.. aku tengok balik matanya yang berkelip kelip itu.. sebab lubang zink jamban tu kecik sangat, aku kena gerak- gerakkan kan kepala aku untuk melihat bahagian lain makhluk itu.., aku tengok lagi betul-betul, tiba tiba makluk itu pula yang bergerak.., dan aku nampak, ya.., aku terlihat paruh seperti burung.., cis!! barulah aku tahu bahawa itu adalah ayam… tadi aku nampak separuh jer sebab screen yang kecik kat lubang zink tu..cis, ! dan cis!!
Ayam bertenggek di tepi para sebelah jamban daa…

Andaikanlah aku tidak melihat sekali lagi dan terus lari, maka tentu sampai sekarang aku akan cerita kisah ‘hantu bodoh’ tu pada anak cucu serta korang…oh!

Dan begitulah asal cerita hantu tersebar, korang nampak ‘kelibat’ jer terus lari sambil percaya apa yang korang nampak tu adalah hantu, padahal mungkin kain sembahyang nenek korang yang terbang dituip angin kerana korang lupa nak angkat petang tadi sebab asyik baca mastika.., apa daa..

Sama jugak kes kawan aku, belajar silat cekak Hanafi, malam akhir menuntut, lepas duduk bersila atas kain kuning, tok guru dia pesan, bila balik nanti.., jika ternampak benda pelik, jangan tegur, itu “cubaan”

Sekali jumpa dia malam tu, wajah pucat lesi, tanya: kenapa?

Katanya ternampak pocong dalam kereta Tok Ngah yang meninggal semalam..

Bila pergi menyiasat, memang nampak macam pocong duduk dalam kereta, tapi bila pergi dekat kereta, pocongpun hilang, pergi jauh ada balik, rupanya biasan cahaya.., ha ha ha.., illusionist semata mata..

Jadi moralnya, jika korang nampak hantu atau benda mistik, jangan terus lari, selidik dulu, jangan penakut sangat.., kalau ada bunyi pelik, pergi cari, jejak.., best apa jumpa hantu secara live?, boleh cerita kat orang lain dengan penuh riak sebab berjaya jumpa hantu hidup-hidup…,

Tapi cerita setakat yang aku dengar hari ni, hanyalah imbasan, asap, bunyi pelik dan setakat itulah.., itupun dah ‘perasan mistik’ konon.. lalu cerita kat orang dengan penuh riak yang korang telah nampak hantu yang sekali imbas korang tengok tapi boleh pulak ceita detail, siap dengan bilangan gigi, saiz lidah, warna tengkuk dan jenis anak mata..

Nasihat aku, Lepas ni jika nampak hantu, jangan lari, terus pergi jumpa, malulah sikit kat budak kecik dalam detective conan tu.., mana ada hantupun.., betul tak Conan Edogawa?

Dan jika betul Hantupun, apa salahnya?, tanya dia buat apa kat sini,, kalau boleh dakwah sikit kehebatan Allah, kalau dia kapir, ajak masuk islam..arggh..lantak koranglah nak buat apa-apapun,

Aku!, kalau orang cerita hantu yang dia nampak terus lari, aku tak percaya, malahan aku cakap, suruh hantu yang kau jumpa tu jumpa aku, sebab aku nak suruh hantu tu cekik kau kerana gagal cekik kau malam tadi, ha ha ha!!!!!!!

Sama jugak kes mistik yang lain, tengok sejadah lepek atau sejadah berdiri terus perasan mistik lalu sebarkan pada ‘pak pander moden’ yang lain sambil karang cerita mengarut, merapu dan menghina persatuan penulis skrip dunia… boleh buat mereka sertai ‘Writer's Strike’ jika cerita korang terus tersebar.., kesian..

Aku jugak tengok sejadah lepek tu, dan tak perlu aku kagum tengok benda yang dah jadi, yang dah lepek, lainlah jika depan mata aku sejadah itu bergerak gerak lalu duduk mencangkung, kalau bergerak gerakpun, aku akan buat kajian dulu baru sebarkan.., jangan cepat perasan mistik..

Habis sampai situ.

Moral: jangan biarkan diri anda diselubungi ‘perasan mistik’…

*****
Sekarang aku nak cerita kisah pengalaman aku melihat Al quran yang bergerak sendiri., mula mula AL quran tu baring, kemudia ia bergerak lalu berdiri.., ops! Kejap, jangan tuduh aku perasan mistik, sebab aku ada dalil dan hujjah, ini adalah sebagai rujukan kepada korang jika nak sebarkan perkara seperti sejadah berdiri, lampu terpadam sendiri, kepala paip terbukak sendiri atau baju terbukak sendiri bila tidur dan lain lain…

Oleh sebab aku tak nak korang cepat melatah, aku akan cerita asal usul perkara ini terjadi…

Cerita bagaimana aku melihat Al quran yang bergerak sendiri., mula mula AL quran tu baring, kemudian ia bergerak lalu berdiri dan terus berjalan ke sana ke mari…,

Jangan biarkan diri anda diselubungi ‘perasan mistik’…, baca entry ini sampai habis dan mulakan hidup baru, insyAllah..

(masukkan elemen bunyi muzik menyeramkan disini)

Sebelum tu aku nak Tanya korang, Jika ada mualaf baru masuk islam petang semalam dan datang jumpa korang lalu bertanya : “Apakah itu Al quran?.”

Agak, agak.., Apa korang nak jawab?

Lantaklah korang nak jawab apa-apapun, aku rasa semua jawapan adalah betul berdasarkan ilmu dan pengalaman masing-masing.., namun, bagi yang tak tahu, biar aku tolong bagi jawapan yang senang paham;

Al Quran adalah kehendak Allah yang di zahirkan dalam bentuk ‘qalam’ sehingga terbentuk kitab yang di panggil Al quran, dari ayat pertama hingga akhir, semuanya adalah keinginan Allah yang telah dizahirkan dalam bentuk perkataan yang mana jika kita beramal dengan setiap kehendak Allah itu, maka tidak sesatlah kita…

Dalam Al quran ada bercerita, dan ada perintah yang semuanya adalah kehendak Allah, telah terzahirnya ia dalam bentuk qalam dalam bahasa arab sebagai rujukan kepada semua manusia tentang maksud hidup serta kaitanya dengan alam ghaib..

Sementara itu dalam melengkapkan Al quran, kita perlu merujuk kepada sunnah atau hadith hadith Nabi kerana al quran hanya terzahir hanya dalam bentuk perkataan, sedangkan sunnah Nabi pula merupakan praktikal kepada Al quran.., sebab tu nabi bersabda, “tidak sesat mereka yang berpegang kepada Al quran dan sunnah..”

Jadi, jika mualaf yang baru masuk islam petang semalam itu datang balik :
jumpa korang lalu bertanya:

Apakah itu Al sunnah?

Agak-agak, apa korang nak jawab?

Takpe, Biar aku tolong bagi jawapan yang senang paham;

Al sunnah adalah kehendak Allah yang di zahirkan dalam bentuk manusia, yang mana manusia ini merujuk kepada Nabi Muhammad SAW, segala perbuatannya, perjalanannya, dan pemikirannya, semua nya adalah kehendak Allah.., yang mana sebagai contoh, perintah solat dalam Alquran dalam bentuk qalam, telah dizahirkan dalam bentuk praktikal oleh Nabi, disinilah Aisyah R.a, meriwayatkan bahawa Nabi Muhamad S.A.W juga ditakrifkan sebagai “al-Quran yang bergerak”.

Maka disini, dalam kita menterjemahkan Al quran, ianya akan merujuk kepada Nabi Muhammad SAW yang dikenali sebagai “al-Quran yang bergerak”.

Perlu di fahamkan, maksud “al-Quran yang bergerak” ni dengan jelas, yang mana jika korang terer matematik, jumpa sape sapepun lalu ditanya, “berapa punca kuasa 12? “, Terus korang jawab sambil berkebil kebil bijik mata akan punca kuasa 12 adalah tiga perpuluhan empat enam.., maka korang mungkin boleh di pangil “kalkulator bergerak”

Atau jika aku tanya, apa itu ‘Inception’? Lalu korang jawab, oh,, itu maksudnya sebagai, “permulaan”… maka korang mungkin boleh di pangil “Dictionary bergerak”..

Tapi jika korang terer ugama, Tanya hukum fekah, usuluddin, tasauf lalu boleh jawab selamba, itu belum cukup untuk lebelkan korang sebagai “al-Quran yang bergerak”. Korang mungkin boleh di panggil ulamak, ustaz, hafiz atau naqib kerana tahu susunan Al quran, dan hokum hakam,

Dalam menterjemahkan “al-Quran yang bergerak”, ianya adalah orang yang merujuk kepada mereka yang berjaya menterjemahkan 100 peratus kehendak Allah dalam bentuk qalam tadi, kepada kehidupan seharian yang mencakupi semua asek, daripada penampilan, perjalanan dan pemikiran serta tindakan.., termasuk akhlak, munakahat, muasyarat dan lain lain.., itulah maksud “al-Quran yang bergerak”.

Dan Nabi, sebagai “al-Quran yang bergerak” telah mengajar para sahabat tentang bagaimana menterjemahkan Al quran dalam amalan seharian sehingga para sahabat Nabi yang mengikuti sunnah Nabi juga dikenali sebagai “al-Quran yang bergerak”.

Mereka dizaman itu, walaupun belum ada kitab ugama dicetak, kitab hikam belum ada,kitab tarikatpun belum ada, kitab sifat 20 masih belum dicipta, akhbar harakahpun takde, risalah lepas jummaat takde, blog dakwah takde, halaman web Islamic takde jugak, sekolah pondokpun takde, parti islam dan nasyid jugak tiada, tapi hari hari orang kapir masuk islam,

Kenapa?

Kerana orang kapir akan terkesan apabila melihat ‘Al quran bergerak’. Iaitu orang yang beramal 100% seperti kehendak Allah dalam Al quran lalu terpancarlah nur sunnah dalam diri mereka..
Maka kerana itulah, dalam masa 23 tahun sahaja, ugama islam telah tersebar dengan pantas, dan seteruanya di zaman saidina Umar, 2/3 dunia telah tunduk di bawah kuasa ummat islam kerana ummat islam di waktu itu faham hakikat “Al quran yang bergerak”..

Korang tahu apa ciri mereka yang ada sifat “Al quran yang bergerak”?..

Ok, ada banyak, tapi aku ringkas pada tiga sahaja supaya mudah faham insyAllah,

Mereka yang bersifat “al-Quran yang bergerak” mempunyai 3 ciri seperti berikut:

1) Apabila bercakap dengan mereka, iman akan meningkat,

2) Apabila terlihat mereka, maka terus teringat pada Nabi Muhammad SAW, atau terus teringat pada perintah Allah yang belum dibuat,

3) Apabila terkenang akan mereka, maka terus tergambar kehidupan akhirat..

Itulah kesan dari mereka yang bersifat “al-Quran yang bergerak”, malahan dikatan, syaitan akan menghidarkan diri dari bertembung dengan mereka di jalanan.., subhanllah..

Hari ni ramai orang islam belum jadi “al-Quran yang bergerak”. Tapi dah perasan bagus.., dah rasa diri masuk shurga, dah rasa orang yang tak macam dia akan masuk neraka..

Woi mangkuk!, cuba bandingkan, walaupun dah ada banyak kitab ugama dicetak, kitab hikam dah habis belajar, kitab tarikatpun dah khatam, kitab sifat 20 dah cair dimulut, akhbar harakah selalu baca, risalah lepas jummaat tak miss, blog dakwah selalu update, dan dalam kereta ada keset nasyid.. ada universiti islam, serta setiap minggu tak miss usrah, tapi.., hari hari orang kapir tak masuk islam berbondong bonding macam zaman Nabi, yang murtad lagi ramai…,

Kenapa?

kerana orang kapir tak terkesan langsung tengok orang islam hari ni.., solat jemaah selamba tinggal, janggut takde, bercakap tentang keburukkan parti lawan lebih banyak dari bercakap tentang kebesaran Allah.., langsung takde nur…

Aku tengok ada anak dara dan mak dara yang berkemban jemur baju, bila nampak ustaz akhir zaman, boleh pulak bagi salam dalam keadaan berkemban.., dan ustaz jugak jawab salam sambil tersenyum macam takde apa-apa yang berlaku.., amboi,.. manisnya hidup..

jika ustaz tu tergolong dalam “al-Quran yang bergerak” tentu anak dara dan mak dara bertempiran lari sebab melihat sahaja “al-Quran yang bergerak” terus teringat pada Nabi Muhammad SAW, terus teringat pada perintah Allah yang belum dibuat, terus rasa malu..

Sama jugak mat rempit yang sedang lepak, jika benar korang ada ciri “al-Quran yang bergerak” , tentu mat rempit tu bertempiran lari sebab takut nanti kena dengar cerita tentang kebesaran Allah, atau teringat belum solat asar lagi, nanti kena ceramah pula, tapi mat rempit selamba jer tengok korang macam tikus tengok besi…, aura takde…

Orang kapir lagilah, tengok orang islam macam sampah, ada peluang, dibunuhnya orang islam, dirogol isterinya dan harta benda di rampas.., dan tanah air di jajah…

Kenapa jadi macam tu?

Jawapannnya mudah sahaja, Kerana ummat islam tidak menjadi “al-Quran yang bergerak”…, maka Allah cabut kehebatan orang islam dari hati orang kafir..

Tidak hairan dizaman islam sedang memuncak, di kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah ketika Islam menakluki 2/3 dunia. tiba tiba ummat islam lupa menjadi “al-Quran yang bergerak”.., sunnah Nabi iaitu dakwah telah di tinggalkan dan hanya ulamak sahaja yang layak berdakwah, dan ulamakpun hanya sibuk dengan majlis ilmu sahaja.., kitab ugama bersusun susun.., macam-macam ilmu ada.., hebat sungguh!

Lalu, pada tahun itu, tahun 1258, tentera Mongol pimpinan Jeneral Hulagu Khan (cucu Genghis Khan) telah menyerang kota Baghdad dan membunuh berjuta-juta umat islam sehingga diceritakan darah manusia mencecah ke paras lutut kuda dan buku-buku karangan sarjana islam di perpustakaan terbesar dunia Baitul Hikmah telah dibuang ke dalam Sungai Furat sehingga airnya menjadi hitam kerana larutan dakwat.

Habis begitu sahaja ummat islam diserang oleh tentera Monggol.., ilmu ugama yang tinggi tidak dapat menolong apa-apa.., dan juga tiada bantuan dari langit, (Jangan salah faham, belajar ilmu juga penting, tapi jangan lupa juga belajar ilmu menjadi “al-Quran yang bergerak”)

Sekarang, marilah kita check diri masing masing, sejauh mana sifat “al-Quran yang bergerak” itu, ada dalam diri kita..

Kita semua tahu, sebagai rujukan asas, Mereka yang bersifat “al-Quran yang bergerak” mempunyai ciri seperti:

1)Apabila bercakap dengan mereka, iman akan meningkat,

2)Apabila terlihat mereka, maka terus teringat pada Nabi Muhammad SAW, terus teringat pada perintah Allah yang belum dibuat,

3)Apabila terkenang akan mereka, maka terus tergambar kehidupan akhirat..

tapi sekarang, kita check diri masing masing, ada tak sifat “al-Quran yang bergerak” itu dalam diri kita..?

1)Apabila orang bercakap dengan kita, ada iman mereka akan meningkat?, lagi syirik dibuatnya sebab pengetahuan tentang perkara yang sia-sia bertambah, kisah sport rim, carta lagu, keputusan bola, ulasan filem, politik sampah dan keburukan orang.., itu yang kita bincangkan..oh..

2)Apabila orang terlihat kita, maka terus teringat tentang bola, filem, fesyen, resepi, dan juga kisah baru seperti parti seteru kita ada buat silap yang baru… mari kita bincangkan.., sedang dua ekorpun belum solat lagi.., hampeh!

3)Dan apabila orang terkenang akan kita, ada mereka ingat akhirat?.., mungkin yang sedang ingat akhirat lalu teringat tentang kita terus tukar igiminasi kepada dunia..oh.., teringat hutang kita yang belum dibayar berangkali? Oh..

Jadi, janganlah mendabik dada penuh riak yang korang ni pejuang islam menjerit takbir di pesta demotrasi, sedangkan sifat “al-Quran yang bergerak” sudah lama membeku dalam diri.., solat jemaah selamba tinggal, janggut takde, bercakap tentang keburukkan parti lawan lebih banyak dari bercakap tentang kebesaran Allah.., langsung takde nur iman! (Nur-kasih jer banyak…)

Jadi semua kena islah diri masing masing.., sejauh mana “al-Quran yang bergerak” ada dalam diri kita..?, kenapa kawan kawan keliling kita lebih suka bercakap tentang dunia daripada akhirat bila berjumpa dengan kita.., kenapa kawan kawan kapir kita takde keinginan masuk islam bila tengok kita.., fikir..fikir..

Jadi sampai situ sajer aku membebel, dan aku memang pernah berjumpa dengan “al-Quran yang bergerak”, yang berjalan ke sana ke mari…, iaitu mereka yang apabila aku bercakap dengan mereka, iman aku akan meningkat, Apabila aku terlihat mereka, maka terus teringat pada Nabi Muhammad SAW, terus teringat pada perintah Allah yang belum dibuat, oh…, dan apabila aku terkenang akan mereka, maka terus tergambar kehidupan akhirat.. oh..

Tapi sayang, bilangan mereka sikit sangat.., dan mereka kelihatan asing dalam dunia ummat islam sendiri, jika mereka datang ke masjid serta surau, di kebanyakkan tempat, mereka dihalau seperti anjing…, mereka dihalau seperti pengemis hanya kerana mereka mengemis ummat akhir zaman agar kembali kepada Allah..

Pakcik.., teruskanlah bergerak keseluruh dunia dalam usaha menjadikan ummat islam sebagai “al-Quran yang bergerak”.., satu hari nanti, keretamayat akan bergerak mengambil jenazah pakcik yang tidak bergerak lagi… isk..

Penutup:

Allah telah berjanji untuk menjaga Al quran sampai hari kiamat yang mana hari ini setiap perkataan dan susunan huruf masih kekal seperti asal walaupun sudah berusia 1400 tahun lebih.

Namun, Tiada jaminan dari Allah untuk menjaga Al-sunnah seperti mana Allah menjaga Al quran, maka di beritakan bahawa barang siapa yang dapat menghidupkan walaupun hanya satu Sunnah, di akhir zaman ini, mereka akan mendapat ganjaran seratus pahala mati syahid.

Nikmat mana lagi yang kitaorang dustakan?

Hidupkanlah sunnah, dengan menjadi “al-Quran yang bergerak”…, InsyAllah..

Sekian.

Ps: Akhirnya, Alquran dirumah kita yang sudah lama tidak bergerak, telah digerakkan kerana tuan punya yang tidak pernah menjadi “al-Quran yang bergerak” akhirnya tidak bergerak, lalu keretamayat bergerak perlahan menuju rumah yang tidak bergerak itu mengambil mayat kamu yang tidak bergerak lantas membawa deras menuju kubur yang tidak pernah bergerak menunggu kamu sejak dari hari kamu dilahirkan!

(opocot, terkejut den.., nasib baik tak perasan mistik-terkejut mendengar bunyi Al quran jatuh di langgar tikus kerana lama sudah menatap di atas almari…)



Best regards,
         mofaz a.k.a menan
- bukan mudah nak senang-

 *Credit to hamka

0 comments:

Post a Comment